Maut tidak mengenal siapa...


Allah SWT berfirman "Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, mereka tidak dapat dilewatkan walau sesaatpun, dan mereka tidak dapat pula dicepatkan"

Rasulullah SAW pernah ditanya, "Siapakah manusia yang paling berakal dan paling bijaksana?" Rasulullah SAW menjawab, "Orang yang paling berakal adalah orang yang paling banyak mengingati kematian. Sementara orang yang paling bijaksana adalah orang yang paling baik persiapannya. Dia akan mendapat kemuliaan di dunia dan di akhirat."

Saban hari kedengaran khabaran-khabaran tentang kematian si fulan bin fulan dan fulanah binti fulan...Sepanjang 2 minggu ini sahaja telah diberitakan kematian beberapa insan yang saya kenali atau tidak dikenali...


Tanggal 14 Mei, menyaksikan kewafatan isteri Ust Dahlan, pengasas Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Perlis.

19 Mei pula Anak Alak Mubarak, yang merupakan cucu kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak.



21 Mei, seorang pelajar Indonesia Ust Hisyam daripada kuliah Usuluddin, tahun 2 telah dipanggil bertemu Allah SWT.



23 Mei, syahidnya 2 orang remaja di Gaza disebabkan hancurnya terowong bawah tanah dan 4 orang lagi tidak dijumpai.



Pagi 25 Mei semalam, ibu kepada Naib kedua Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, IR Khairat Syatir dan syahidnya seorang bayi berumur 12 bulan di Khanyunis, Palestin kerana peralatan dan kelengkapan rawatan yang tidak mencukupi dan kerana tidak sempat untuk dibawa keluar dari Palestin untuk dirawat.




Dan hampir setiap hari, saya menyaksikan jenazah-jenazah yang disembahyangkan di Masjid Salam, Bawabah 1, Hayyu Asyir. Bukan sekali sehari, bahkan hampir setiap kali selepas solat fardhu terdapat jenazah yang diusung oleh kaum kerabat mereka untuk disolatkan di situ memandangkan kedudukan masjid yang berada ditengah jalan menuju ke tanah pengebumian di Hayyu Asyir...Terdetik dihati ini, sungguh mati tidak mengenal sesiapa, terasa amat dekatnya kematian itu dengan diri yang hina ini. Jua turut bermain di fikiran saya beberapa lintasan-lintasan hati...Bilakah pula agaknya giliran aku? Adakah aku merasakan mustahil untuk aku berada di tempat mereka? Adakah aku telah bersedia untuk menghadapi apa yang mereka hadapi? Bagaimanakah agaknya keadaanku apabila telah menjadi salah seorang daripada mereka? Terasa dihati alangkah tidak bersedianya diri ini untuk menghadapi saat dan ketika itu...Ya Allah, rahmatilah hambamu!! Hanya itulah ucapan yang mampu diluahkan oleh hati ini yang merasakan amat dhoifnya ia untuk menghadapi semua ini. Sehingga perasaan itu telah menggerakkan saya untuk menulis di sini sebagai renungan dan tatapan kita bersama. Begitulah seharusnya keadaan seorang muslim. Dia seharusnya sentiasa mengambil iktibar daripada setiap peristiwa yang disaksikan dan yang dihadapi sepanjang hidupnya.

...Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran Yang memberi insaf bagi orang-orang Yang berfikiran (yang celik mata hatinya) - Ali Imran: 13

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah menyarankan kita supaya:
  1. Sentiasa mengingati mati
"Perbanyakkanlah mengingati mati kerana mengingati mati itu akan menghapuskan dosa dan menghilangkan perasaan cinta dunia dari hatimu."

2. Menziarahi orang sakit.

Rasulullah s.a.w. bersabda "Sesungguhnya orang Muslim ketika menjenguk saudaranya yang muslim, maka ia sentiasa memetik buah-buahan syurga"

Hadith riwayat Said r.a., Ali r.a. memegang tanganku dan berkata, "Mari kita ziarah Hassan, maka dia menemui Abu Musa." Ali berkata, "Hai Abu Musa, kamu datang menziarahi (orang sakit) atau berkunjung?" Abu Musa berkata, "Tidak, aku datang untuk menziarahinya." Ali berkata, " Tiada seorang muslim yang menziarahi seorang muslim (yang sakit) di waktu pagi, melainkan tujuh puluh malaikat meminta rahmat untuknya sehingga petang, dan jika dia menziarahinya di waktu petang, maka tujuh puluh malaikat meminta rahmat untuknya sehingga pagi dan dia akan memetik buah-buahan syurga."

3. Menghadiri pengurusan jenazah bermula dari saat dimandikan sehingga waktu dikebumikan

من شهد الجنازة حتى يصلى عليها فله قيراط ومن شهدها حتى تدفن فله قيراطان ، قيل وما القيراطان ؟ قال : " مثل الجبلين العظيمين " متفق عليه
" Barangsiapa yang menyaksikan jenazah sehingga menyembahyangkannya maka baginya satu Qiroth, dan barangsiapa yang menyaksikan jenazah sehingga dikebumikan maka baginya dua Qiroth. Dikatakan: Apakah Qirothon itu? Rasulullah SAW menjawab: "Umpama dua gunung yang besar" Hadith Riwayat Bukhori Muslim.


4. Menziarahi kubur.

Rasulullah SAW bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang kamu boleh menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh menimbulkan sifat zuhud terhadap dunia dan ingat kepada akhirat."

Mudah-mudahan dengan mengambil iktibar, kita akan sentiasa bersedia untuk menghadapi satu hakikat yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun walau bagaimana kuat dan hebatnya dia di dunia ini, itulah kematian. Ya Allah matikanlah kami sebagai syuhada' di jalanmu, sesungguhnya engkaulah sebaik-baik pelindung dan pembantu!

0 comments: