Berlemah lembut dalam berdakwah

Disini ingin saya berkongsi dengan sahabat-sahabat satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang saya rasakan perlu untuk kita semua menghayatinya di dalam berdakwah kepada ALLAH SWT. Semoga ia dapat dimanfaatkan bersama...

Pada suatu hari datang seorang Arab Badwi kepada Rasulullah lalu meminta sedekah dari Baginda SAW lalu Rasulullah pun menunaikan hajatnya. Akan tetapi apabila Rasulullah SAW bertanya kepadanya : "Adakah aku telah berbakti kepadamu?, dia menjawab dengan nada yang kasar : " Engkau tidak berbakti dan berjasa pun!! Apabila mendengarkan perkara tersebut, para sahabat yang menyaksikan peristiwa tersebut tidak tahan lagi lalu bertindak untuk menyakiti si badwi tersebut. Akan tetapi Rasulullah SAW dengan sifat lemah lembut Baginda, Baginda melarang para sahabat daripada menyakitinya. Bukan sekadar itu, bahkan Baginda SAW membawa si badwi tersebut masuk ke dalam rumah Baginda lalu memberikannya apa yang diinginkan. Lalu Baginda SAW bertanya : Adakah aku telah berbakti kepadamu? Jawab badwi itu : Semoga Allah membalasmu dengan balasan yang terbaik!..Lalu, Nabi SAW berkata kepadanya : Sesungguhnya engkau telah mengatakan apa yang kau katakan sebentar tadi yang menyebabkan sesuatu (perasaan tidak berpuas hati) di dalam hati sahabatku dan aku ingin menghilangkan perasaan tersebut. Lalu, Nabi SAW membawanya keluar dan bertemu dengan para sahabat yang lain. Baginda pun menanyakan kepadanya : Adakah aku telah berbakti kepadamu? Dia pun menjawab : Semoga Allah membalasmu dengan balasan yang terbaik! ...

Rasulullah SAW pun bersabda di hadapan para sahabatnya : Sesungguhnya perumpamaan aku dengan kamu semua adalah seumpama seekor unta yang lari daripada tuannya lalu manusia di sekelilingnya cuba untuk mengejar dan menangkapnya. Namun, tuan unta tersebut melarang dan mengatakan : Biarakan aku sahaja yang memanggilnya semula. Lalu, dia mengambil sedikit rumput lalu mengisyaratkannya kepada unta tersebut. Tidak lama kemudian, unta itu pun menuju dengan perlahan-lahan ke arah tuannya lalu didudukkannya. Rasulullah SAW pun menyambung sabda Baginda kepada para sahabat yang ingin menyakiti si badwi tadi disebabkan kebiadabannya terhadap Rasulullah SAW dengan berkata: Dan jika aku biarkan kamu dan apa yang kamu ingin lakukan terhadapnya nescaya dia akan masuk ke dalam neraka ( disebabkan kebiadabannya).

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian! Kita dapat lihat di sini betapa pentingnya untuk kita berlemah lembut di dalam mengajak manusia kepada Allah dan menghayati Islam kerana naluri manusia itu sememangnya sangat mencintai dunia, jadi jika kita berkasar dengan mereka di dalam mengajak mereka supaya mencintai akhirat, maka mereka akan lari daripada kita. Adapun, jika kita berlemah lembut dengan mereka dengan memberikan sedikit perkara yang mereka cintai daripada kenikmatan dunia seperti memberikan hadiah, berkhidmat, menghulurkan bantuan dan sebagainya disusuli pula dengan mengajak mereka dengan lemah lembut nescaya mereka pasti akan tertarik dengan kita. Bahkan lebih daripada itu, mereka mungkin akan sanggup mengorbankan dunia yang dicintainya demi berjuang bersama-sama dengan kita didalam menegakkan Kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Contoh yang paling jelas yang boleh kita lihat di zaman ini adalah saudara-saudara kita di Palestin yang sanggup mengorbankan jiwa dan segala-galanya demi mempertahankan Islam walaupun sebahagian daripada mereka bukanlah orang-orang yang ditarbiah dengan Tarbiah Islamiah yang tulen. Namun mereka sanggup berjuang bersama-sama dengan pejuang-penjuang Islam. Kenapa? Haaa, jangan terkejut!! Itu semua oleh kerana mereka dapat merasai khidmat, bantuan & kasih sayang yang dihulurkan kepada mereka oleh pejuang-penjuang Islam & keikhlasan mereka di dalam membela rakyat serta memperjuangkan tanah suci Palestin & Islam.

Wallahu A'lamu Bis Sowab



Ketabahan dan kesabaran yang tidak berbelah bahagi



Segala-galanya dikorbankan demi Islam yang tercinta

0 comments: