Maut tidak mengenal siapa...


Allah SWT berfirman "Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, mereka tidak dapat dilewatkan walau sesaatpun, dan mereka tidak dapat pula dicepatkan"

Rasulullah SAW pernah ditanya, "Siapakah manusia yang paling berakal dan paling bijaksana?" Rasulullah SAW menjawab, "Orang yang paling berakal adalah orang yang paling banyak mengingati kematian. Sementara orang yang paling bijaksana adalah orang yang paling baik persiapannya. Dia akan mendapat kemuliaan di dunia dan di akhirat."

Saban hari kedengaran khabaran-khabaran tentang kematian si fulan bin fulan dan fulanah binti fulan...Sepanjang 2 minggu ini sahaja telah diberitakan kematian beberapa insan yang saya kenali atau tidak dikenali...


Tanggal 14 Mei, menyaksikan kewafatan isteri Ust Dahlan, pengasas Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Perlis.

19 Mei pula Anak Alak Mubarak, yang merupakan cucu kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak.



21 Mei, seorang pelajar Indonesia Ust Hisyam daripada kuliah Usuluddin, tahun 2 telah dipanggil bertemu Allah SWT.



23 Mei, syahidnya 2 orang remaja di Gaza disebabkan hancurnya terowong bawah tanah dan 4 orang lagi tidak dijumpai.



Pagi 25 Mei semalam, ibu kepada Naib kedua Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, IR Khairat Syatir dan syahidnya seorang bayi berumur 12 bulan di Khanyunis, Palestin kerana peralatan dan kelengkapan rawatan yang tidak mencukupi dan kerana tidak sempat untuk dibawa keluar dari Palestin untuk dirawat.




Dan hampir setiap hari, saya menyaksikan jenazah-jenazah yang disembahyangkan di Masjid Salam, Bawabah 1, Hayyu Asyir. Bukan sekali sehari, bahkan hampir setiap kali selepas solat fardhu terdapat jenazah yang diusung oleh kaum kerabat mereka untuk disolatkan di situ memandangkan kedudukan masjid yang berada ditengah jalan menuju ke tanah pengebumian di Hayyu Asyir...Terdetik dihati ini, sungguh mati tidak mengenal sesiapa, terasa amat dekatnya kematian itu dengan diri yang hina ini. Jua turut bermain di fikiran saya beberapa lintasan-lintasan hati...Bilakah pula agaknya giliran aku? Adakah aku merasakan mustahil untuk aku berada di tempat mereka? Adakah aku telah bersedia untuk menghadapi apa yang mereka hadapi? Bagaimanakah agaknya keadaanku apabila telah menjadi salah seorang daripada mereka? Terasa dihati alangkah tidak bersedianya diri ini untuk menghadapi saat dan ketika itu...Ya Allah, rahmatilah hambamu!! Hanya itulah ucapan yang mampu diluahkan oleh hati ini yang merasakan amat dhoifnya ia untuk menghadapi semua ini. Sehingga perasaan itu telah menggerakkan saya untuk menulis di sini sebagai renungan dan tatapan kita bersama. Begitulah seharusnya keadaan seorang muslim. Dia seharusnya sentiasa mengambil iktibar daripada setiap peristiwa yang disaksikan dan yang dihadapi sepanjang hidupnya.

...Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran Yang memberi insaf bagi orang-orang Yang berfikiran (yang celik mata hatinya) - Ali Imran: 13

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah menyarankan kita supaya:
  1. Sentiasa mengingati mati
"Perbanyakkanlah mengingati mati kerana mengingati mati itu akan menghapuskan dosa dan menghilangkan perasaan cinta dunia dari hatimu."

2. Menziarahi orang sakit.

Rasulullah s.a.w. bersabda "Sesungguhnya orang Muslim ketika menjenguk saudaranya yang muslim, maka ia sentiasa memetik buah-buahan syurga"

Hadith riwayat Said r.a., Ali r.a. memegang tanganku dan berkata, "Mari kita ziarah Hassan, maka dia menemui Abu Musa." Ali berkata, "Hai Abu Musa, kamu datang menziarahi (orang sakit) atau berkunjung?" Abu Musa berkata, "Tidak, aku datang untuk menziarahinya." Ali berkata, " Tiada seorang muslim yang menziarahi seorang muslim (yang sakit) di waktu pagi, melainkan tujuh puluh malaikat meminta rahmat untuknya sehingga petang, dan jika dia menziarahinya di waktu petang, maka tujuh puluh malaikat meminta rahmat untuknya sehingga pagi dan dia akan memetik buah-buahan syurga."

3. Menghadiri pengurusan jenazah bermula dari saat dimandikan sehingga waktu dikebumikan

من شهد الجنازة حتى يصلى عليها فله قيراط ومن شهدها حتى تدفن فله قيراطان ، قيل وما القيراطان ؟ قال : " مثل الجبلين العظيمين " متفق عليه
" Barangsiapa yang menyaksikan jenazah sehingga menyembahyangkannya maka baginya satu Qiroth, dan barangsiapa yang menyaksikan jenazah sehingga dikebumikan maka baginya dua Qiroth. Dikatakan: Apakah Qirothon itu? Rasulullah SAW menjawab: "Umpama dua gunung yang besar" Hadith Riwayat Bukhori Muslim.


4. Menziarahi kubur.

Rasulullah SAW bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang kamu boleh menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh menimbulkan sifat zuhud terhadap dunia dan ingat kepada akhirat."

Mudah-mudahan dengan mengambil iktibar, kita akan sentiasa bersedia untuk menghadapi satu hakikat yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun walau bagaimana kuat dan hebatnya dia di dunia ini, itulah kematian. Ya Allah matikanlah kami sebagai syuhada' di jalanmu, sesungguhnya engkaulah sebaik-baik pelindung dan pembantu!

Sejarah Tragedi Penyakit Bawaan Khinzir

Pada tahun 1918 virus Influenza telah membunuh lebih daripada 20 juta manusia di seluruh dunia. Dan ada juga yang menganggarkan lebih 40 juta yang menjadi mangsa. Antara sebabnya apabila dibuat kajian ialah kuman-kuman ini sebenarnya datang dari babi-babi di Amerika, yang menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia I. Dan tentera-tentera ini seterusnya membawa wabak ini ke merata tempat di pelbagai negara di seluruh dunia.

Dikatakan jumlah kematian berlaku dalam tempoh yang singkat dan wabak ini pada ketika itu adalah antara wabak yang membawa kematian yang cukup besar jika dibandingkan dengan lain-lain wabak penyakit moden pada masa itu. Dan setelah dibuat kajian terperinci, ternyata punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi. (source: The Civil Aboliotionist, New Pig Virus Capable of Infecting Human, New York, 1998 )

Pada tahun 1957 satu wabak yang dinamakan sebagai Asian Flu dan juga wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 adalah berkemungkinan berpunca daripada binatang ternakan, sebelum ianya menjangkiti babi. Di dalama babi pula, virus ini berubah kepada bentuk yang lebih berbahaya, sebelum ianya menjangkiti manusia. wabak-wabak ini telah meragut nyawa lebih 2 juta orang. (source: Sun 26 Mac 2000, The 1918 Flu Pandemic: What Have We Learned From This? pg 1, iafrica.com/ ) Betul ke virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya di dalam khinzir?

Jawapan kepada soalan ini telah dijawab oleh Alex Fano, pengarang sebuah buku terkenal Lethal Laws - Animal Testing, Human Health and Environmental Policy. Beliau juga adalah Pengarah Medical Research Modernisation Committee. Di dalam buku tersebut, beliau telah mengesahkan, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah dan menjadi lebih berbahaya atau mutations, daripada semasa ke semasa.

Manakala di sekitar tahun 50an pula, kita dikejutkan dengan cacing trichina daripada babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh mennyembuhkannya pada ketika itu. Dan oleh kerana itu, satu amaran telah dikeluarkan di Amerika tentang bahaya memakan daging babi. Amaran tersebut telah dikeluarkan di Washington Post bertarikh 31 Mei 1952 dan dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard. [Source : Washington Post , 31 Mei 1952 ]

Virus-Virus Daripada Khinzir

Ternyata amaran yang dikeluarkan daripada firman Allah telah mula dapat disyukuri oleh mereka-mereka yang beriman dan mentaati perintahNya. Pelbagai kajian mula dibuat secara lebih terperinci.

Di dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang diketuai oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka, dari Universiti Wisconsin. Pertemuan mereka jelas menunjukkan, pada kerongkong babi ada sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Saintis- saintis menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya'. [source: The Detroit News, Scientists Discover the Infection Route Between Bird Virus and Pigs, Robert Cooke, Okt 20,1997]

Di dalam BBC News pula, pada 29 Oktober 1999, telah memfokuskan penemuan para saintis yang menunjukkan, virus babi menjadi punca berlakunya wabak-wabak yang paling teruk di dalam sejarah dunia perubatan moden pada tahun 1918. Saintis-saintis mendapati wabak-wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 juga berpunca daripada virus babi. [source: bbc.co.uk/hi/english/health/newsid_489000/489385.htm ]

Mengikut kajian itu juga, virus binatang yang biasanya tak menjangkiti manusia bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia, selepas memasuki sel-sel di dalam babi ini. Penemuan ini mampi memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selsema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ke 20.

Penyakit-penyakit ini bermula dengan serangan Spanish flu pada 1918, diikuti Asian flu pada tahun 1957 dan Hong Kong flu pada 1968 dan Russian flu pada 1977. Kajian-kajian oleh saintis ini menunjukkan kuman-kuman pembunuh ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat, terutamanya pada tahun 1918. [ source: Centres For Disease Control & Prevention, Pandemic Influenza, USA 2000]

Menurut Dr. Virginia Hinshaw pula, Dekan di Graduate School University Wisconsin-Madison, virus sentiasa berubah kepada bentuk lain dan babi merupakan suatu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada bentuk yang lain dan sistem pertahanan manusia tidak mampu untuk menangkis daripada serangan-serangan ini. [Source: Your Health, Flu Fighters, Research for University of Wisconsin-Madison, wisc.edu/chancellor/yourworld/45.html ]

Pada bulan November 1997 pula, Dr. Robinson Weiss daripada Chester Beatty Laboratory, London mengesahkan kewujudan virus PERVS di dalam babi dan ini menyebabkan Kerajaan British mengharamkan kesemua aktiviti pembedahan pemindahan alat/organ daripada babi kepada manusia. [source: Campaign for Responsible Transplantation - Press Releases 1998, New Biotech Partnership Threatens Public Health, Oct. 21 1998]

Sebelum itu pada bulan Ogos 1997 pula, saintis-saintis dari Australia telah menemui satu lagi virus dari binatang ini. Ia amat bahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui dan dikenali sebagai virus menangle daripada kumpulan paramyxovirus. [Source: Mercola. com, New Pig Virus Can Infect Human, Dr. Joseph Merola, 1998]

Dipetik daripada : www.scribd.com/doc/13593714/Sejarah-Penyakit-Bawaan-Babi

Masa itu kehidupan !?

Wahai manusia! Sedarilah bahawa masa merupakan umur dan kehidupanmu. Setiap saat yg berlalu bermakna semakin berkuranglah umurmu dan semakin hampirlah engkau dengan ajalmu, sesungguhnya engkau berjalan menuju tuhanmu pada setiap saat dan detik samada engkau sedar atau tidak, kerana diantara ciri-ciri masa ialah:


  1. Terlalu cepat berlalu tanpa menunggu sesiapa. Ia tidak boleh sekali-kali dihentikan sehingga tibanya kiamat.
  2. Yang telah berlalu daripadanya tidak akan kembali selama-lamanya walau engkau menangis darah sekali pun.
  3. Telah ditetapkan bagi setiap orang kadar masa yg diperuntukkan untuknya di dunia yg sementara ini. Walau panjang mana sekalipun umur seseorang itu, namun ia tetap sedikit jika nak dibandingkan dengan kehidupan yg kekal abadi di akhirat nanti.
  4. Jika tidak digunakan untuk kebaikan maka ia akan digunakan untuk sebaliknya.
  5. Tidak boleh dijual beli dan diganti dengan emas perak bahkan seluruh harta yg terdapat di dunia ini.


Allah SWT telah mengingatkan kita tentang hakikat ini di dalam kitabnya:

1 ) قال - تعالى -: (والعصر إن الإنسان لفي خُسر إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر) سورة العصر 3

Di dalam surah ini Allah bersumpah dengan masa. Ia memberikan peringatan terhadap perubahan keadaan dan situasi. Allah jua menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak melakukan kebaikan yg diwajibkan kepadanya maka dia berada di dalam kerugian yg nyata.

2) قال - تعالى -: (أولم نعمركم ما يتذكر فيه من تذكر وجاءكم النذير فذوقوا فما للظالمين من نصير) سورة فاطر 37

Ibnu Kholdun mensyarahkan ayat ini : “ Sesungguhnya umur kamu yg kami kurniakan kepadamu cukup bagi siapa yg ingin beringat, berfikir dan beramal soleh.


Rasulullah SAW juga telah menyatakan dan memperingatkannya kepada kita:

عن أبي برزة الأسلمي - رضي الله عنه - قال: أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال
لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن أربع: عن عمره فيما أفناه، وعن علمه ما عمل به؟ وعن ماله من أين أكتسبه وفيم أنفقه؟ وعن جسمه فيما أبلاه؟ رواه الترمذي


“ Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari akhirat sehingga ditanya tentang 4 perkara:
1. Umurnya, dihabiskan untuk apa?
2. Ilmunya, digunakan untuk apa?
3. Hartanya, dari mana didapati dan kemana ia dibelanjakan?
4. Badannya, digunakan untuk apa?

ــ عن ابن عباس – رضي الله عنه – ما قال: قال النبي – صلى الله عليه وسلم -:
((نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس: الصحة، والفراغ)) رواه البخاري
“ 2 nikmat yang ramai manusia tertipu dengannya, kesihatan dan masa lapang”

ــ عن ابن عباس - رضي الله عنهما - قال: قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم -:
((اغتنم خمساً قبل خمس: شبابك قبل هرمك، وصحتك قبل سقمك، وغناك قبل فقرك، وفراغك قبل شغلك، وحياتك قبل موتك)) رواه الحاكم في المستدرك

“ Rebutlah 5 perkara sebelum tibanya 5 perkara:
1. Waktu muda sebelum tua
2. Waktu sihat sebelum sakit
3. Waktu kaya sebelum miskin
4. Waktu lapang sebelum sibuk
5. Waktu hidup sebelum mati ”

ــ عن أنس بن مالك - رضي الله عنه - قال: قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم -:
((إن قامت الساعة وبيد أحدكم فسيلة فإن استطاع أن لا يقوم حتى يغرسها فليفعل)) مسند الإمام أحمد


“ Sekiranya tiba hari kiamat sedangkan terdapat sebutir biji kurma pada tangan salah seorang daripada kamu, maka jika dia mampu untuk tidak berdiri sehingga dia menanamnya maka hendaklah dia melakukannya”

Ini menunjukkan betapa berharganya masa yg dikurniakan kpd kita kerana pada saat paling genting sebegitu pun Nabi SAW mengarahkan kita supaya memanfaatkannya, inikan pula dengan masa lapang yg tidak dikelilingi dengan apa-apa kesusahan dan kesibukan...


Justeru, adakah kita beringat dengan pesanan-pesanan Allah dan Rasulnya!?


Para Salafussoleh dan masa

1. Imam Abu Bakar Al Anbari didatangi oleh seorang doktor ketika beliau sakit teruk lalu dia meneliti air kencingnya dan mengatakan kepadanya : “ Sesungguhnya engkau telah melakukan sesuatu yg tidak pernah dilakukan oleh seseorang pun!! Lalu dia keluar dan berkata : Tak boleh buat apa-apa dah dengan dia! Kemudian dia bertanya kepada Imam : Apa yg telah engkau lakukan? Imam menjawab : Aku membaca, menulis, dan menghafal 10 ribu helai kertas pada setiap minggu.

2. Isteri Imam Azzuhri ( Syekh Imam Malik ) mengadu kerana suaminya terlalu kuat membaca. Dia berkata : Demi Allah! Sesungguhnya kitab-kitab ini lebih berat bagiku daripada bermadu 3.

3. Imam Ibnu Jauzi pernah mengatakan tentang dirinya: “ Aku tidak pernah puas daripada membaca kitab dan jika aku melihat 1 kitab maka seolah-olah aku menemui 1 peti emas. Jika aku mengatakan bahawa aku telah membaca 20 ribu jilid maka itu lebih tetapi aku sentiasa mencari kitab-kitab...

4. Abdul Rahman Taimiyah menceritakan tentang datuknya dengan berkata: Jika dia memasuki tandas dia akan mengatakan kepadaku: “Bacakan kitab ini dengan suara yang kuat supaya aku dapat mendengarinya” kerana takut mensia-siakan masa yang digunakan untuk memasuki tandas.

5. Imam Ibnu Jarir Attobari ( Imam Mufassirin ) diceritakan bahawa beliau menulis pada setiap hari 40 helai kertas selama 40 tahun.

6. Berkata saidina Abdullah Bin Mas’ud : Amat memarahkan aku apabila aku melihat seorang yang membuang masa, tidaklah dia melakukan apa-apa kerja untuk dunia atau akhirat.

7. Abdul Rahman anak Imam Abi Hatim Arrazi berkata : Kadangkala aku membacakan untuknya ketika dia sedang makan, masuk tandas atau masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. Maka hasil daripada penggunaan masa yang baik ini ialah Kitab “ Aljarh Watta’dil” di dalam 9 jilid, Kitab Tafsir di dalam beberapa jilid dan Kitab “ Assanad” di dalam 1000 juzu’.

8. Imam Ibnul Qoyyim berkata : Masa seseorang itu pada hakikatnya adalah umurnya, ia merupakan modal kehidupannya yg kekal di dalam nikmat yg kekal, jua modal kehidupannya yg celaka di dalam azab yg pedih. Ia berlalu seperti berlalunya awanan. Jika ia digunakan untuk Allah dan bersama Allah maka ia dikira daripada umurnya, sebaliknya jika tidak digunakan untuk Allah maka ia tidak dikira daripada kehidupannya walaupun dia hidup di dalamnya seperti binatang. Jika dia menghabiskan masanya di dalam kealpaan, kelekaan dan angan-angan kosong sehingga tidur dan menganggur itu menjadi sebaik-baik perkara yg dilakukan, maka mati itu lebih baik baginya daripada kehidupan!!

9. Imam Hasan basri berkata: “ Janganlah engkau menangguh-nangguh tugasmu kerana sesungguhnya engkau hanya memiliki hari ini, belum tentu esok hari akan menjadi milikmu. Jika ia menjadi milikmu maka bijaksanalah didalam memanfaatkannya sepertimana hari ini, jika ia tidak lagi menjadi milikmu maka engkau tidak akan menyesal di atas kecuaianmu didalam melaksanakan tugasmu pada hari ini.


Marilah sama-sama kita merenung betapa jauhnya kita jika nak dibandingkan dengan mereka.

تِلۡكَ أُمَّةٌ۬ قَدۡ خَلَتۡ‌ۖ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَلَكُم مَّا كَسَبۡتُمۡ‌ۖ وَلَا تُسۡـَٔلُونَ عَمَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ

"Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan". (Albaqarah : 134)